1. Home
  2. Blog
  3. Keluarga
  4. Ada Sebab Kenapa Mama Kiah Tetap Bayar Yuran Taska Anak Dia

Truly Untold Story

Ada Sebab Kenapa Mama Kiah Tetap Bayar Yuran Taska Anak Dia

Penjelasan Kenapa Ibubapa Patut Bayar Yuran Taska/Tadika Walaupun Anak Tidak Hadir dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh @ ‘Total Lockdown’.

Saya rasa terpanggil untuk menjelaskan perkara di atas disebabkan semalam digroup WA dan telegram pengusaha Taska/Tadika juga riuh dengan pelbagai rintihan pengusaha Taska/Tadika yang terkesan disepanjang tempoh ‘Lockdown’ yang bermula hari ini @ 1 Jun 2021 berdasarkan pengalaman yang telah dilalui semasa PKP Fasa 1 2020 dulu.

Ada segelintir ibubapa yang merasakan mereka tidak perlu membayar yuran bulanan atas sebab mereka tidak menghantar anak ke Taska/Tadika disepanjang tempoh ‘Lockdown’.

Sebelum saya mengulas isu ini, kita harus memahami dahulu peranan dan tanggungjawab Taska/Tadika swasta dalam masyarakat.

Perkhidmatan Taska/Tadika merupakan sistem sokongan pengasuhan dan didikan awal kanak-kanak yang sangat penting dalam negara.

Di negara kita, masih terdapat tanggapan yang rendah terhadap golongan Pendidik Awal Kanak-Kanak. Segelintir masyarakat masih menganggap mereka hanyalah sebagai pengganti amah atau orang gaji yang menjaga anak-anak mereka.

Tuan puan yang saya kasihi sekalian, banyak pengusaha Taska/Tadika yang saya kenal memang memperjuangkan kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak seluruh hidup mereka.

Mereka terus menerus belajar memperbaiki kualiti dan teknik pengajaran dari masa ke semasa dengan menghadiri pelbagai jenis kursus, bengkel dan lawatan bagi memastikan mereka dapat beri yang terbaik untuk anak-anak di Taska/Tadika.

Di TAPC, setiap 2 minggu sekali akan ada ‘in-house training’ untuk semua cikgu selain menghantar mereka mengikuti pelbagai bengkel dan kursus berkaitan bagi menambahbaik ilmu dan kemahiran dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Pastinya dalam tempoh ‘Lockdown’ yang agak lama ini semua ibubapa menghadapi cabaran untuk menyediakan aktiviti dan melayan karenah anak-anak kecil yang pelbagai dirumah.

Semasa PKP Fasa 1 2020, banyak sekali status-status dimedia sosial yang saya lihat menyatakan ibubapa mengakui sangat penat kerana terpaksa menjaga anak-anak mereka yang pelbagai karenah dirumah.

P/S: Gambar Arkib Sebelum Covid-19

Bayangkan cikgu-cikgu Taska/Tadika selama ini yang memilih untuk membantu ibubapa menjalankan tanggungjawab mengasuh dan mendidik anak anda setiap hari sehinggalah anak-anak anda melangkah ke sekolah rendah.

Berbalik kepada isu pembayaran yuran Taska/Tadika dalam tempoh ‘Lockdown’ ini, ibubapa harus sedar yang anda memerlukan perkhidmatan Taska/Tadika seberapa segera apabila kerajaan menamatkan perintah ‘Lockdown’ ini.

Apakah yang akan berlaku sekiranya semua ibubapa tidak membayar yuran sepanjang tempoh ‘Lockdown’ ini? Pastinya tindakan tidak membayar yuran akan memberi kesan dan impak besar kepada pendapatan cikgu Taska/Tadika secara langsung.

Sejujurnya, kebanyakan pengusaha memang tidak mempunyai dana lain bagi membayar gaji cikgu-cikgu mereka selain daripada kutipan yuran bulanan semata-mata.

Banyak Pengusaha Taska/Tadika yang membincangkan kemungkinan besar mereka terpaksa menutup operasi @ gulung tikar kerana tidak mampu untuk membayar gaji dan menanggung kos operasi bulanan.

Ini kemungkinan besar akan menjatuhkan lagi moral dan semangat cikgu-cikgu Taska/Tadika untuk kekal dalam sektor Pendidikan terpenting ini.

Kita tidak mahu ini berlaku. Sekiranya ada ibubapa yang tidak terjejas dari segi pendapatan dalam tempoh ‘Lockdown’ ini, bayarlah yuran Taska/Tadika anak anda.

Seperti mana kebanyakan anda tetap menerima gaji walaupun tidak bekerja sepenuhnya @ WFH. Anggaplah anda juga seperti majikan yang tetap membayar yuran Taska/Tadika anak anda walaupun tidak ada persekolahan/perkhidmatan.

Mendidik anak-anak, tidaklah diukur dengan berapa banyak yuran yang dibayar. Cinta dan kasih sayang yang diberi oleh cikgu-cikgu Taska/Tadika tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit. Mereka adalah ‘extended family’ anda.

Perkhidmatan mereka akan ditagih semula selepas tempoh ‘Lockdown’ ini berakhir. Bagilah mereka berehat dari tugas mencabar kerana kita mahukan mereka kembali dengan semangat yang lebih hebat mendidik anak anda sekembalinya mereka dari tempoh ‘Lockdown’ kelak.

InsyaAllah wang yang digunakan untuk membayar yuran Taska/Tadika, didoakan menjadi asbab untuk Allah SWT terus memberkati, merahmati dan melindungi keluarga anda dari sebarang musibah serta memurahkan rezeki anda sekeluarga.

Maafkan saya, jika ada yang terguris hati dengan penulisan ini. Cuma sangat sedih sekiranya TAPC terpaksa ditutup jika TAPC tidak mampu untuk bertahan @ membayar gaji cikgu-cikgu di TAPC.

Semoga Allah SWT memberikan kita semua kejernihan hati dan kekuatan untuk bertindak dengan sebaiknya.

Khairi Ismail
Founder ELC Solusi
Co-founder & Pengurus TAPC

Apa Kata Anda?
PERHATIAN: Jaga penulisan anda. Pastikan ianya positif & memberikan manfaat kepada pembaca.

How useful was this post?

Click on a star to rate it!

Average rating 5 / 5. Vote count: 6

No votes so far! Be the first to rate this post.

As you found this post useful...

Follow us on social media!

We are sorry that this post was not useful for you!

Let us improve this post!

Tell us how we can improve this post?

Latest Blog Post
Category
Menu